Trending
Nasional

BERSATU ambil tindakan undang-undang terhadap 4 Ahli Parlimennya lompat parti

KUALA LUMPUR: Parti BERSATU memohon kebenaran mahkamah untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mendapatkan perisytiharan bahawa kerusi Parlimen Papar, Batu Sapi, Ranau dan Sipitang sudah dikosongkan.

Permohonan kebenaran itu difailkan Naib Presidennya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan Datuk Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya selaku pegawai awam parti berkenaan.

Ia menamakan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul dan empat Ahli Parlimen kawasan terbabit Datuk Armizan Mohd Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Datuk Jonathan Yasin (Ranau) serta Matbali Musah (Sipitang) sebagai responden pertama hingga kelima.

Dalam permohonan kebenaran itu, BERSATU memohon perisytiharan untuk membatalkan keputusan Johari melalui surat bertarikh 16 Januari lalu yang menyatakan responden kedua hingga kelima sudah memberikan penjelasan dan mengesahkan bahawa tiada berlakunya kekosongan berdasarkan tafsiran Perlembagaan GRS dan Perlembagaan BERSATU.

BERSATU juga memohon perisytiharan bahawa empat ahli Parlimen terbabit sudah berhenti menjadi ahli Dewan Rakyat mengikut Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan dan memohon perintah supaya Johari mengesahkan berlakunya kekosongan luar jangka bagi semua kerusi parlimen berkenaan.

Parti itu turut memohon perintah supaya Johari memaklumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai kekosongan itu dalam tempoh 21 hari dari perintah terbabit

Sekiranya kebenaran diberikan dan sementara menunggu pendengaran semakan kehakiman, BERSATU memohon perintah penzahiran supaya responden mengemukakan kesemua surat-menyurat dan rekod kepada dan daripada Johari berhubung maklumat dan penjelasan mengenai pemberhentian semua ahli parlimen terbabit pengesahan bahawa tiada berlakunya kekosongan luar jangka.